Pages

Islam is ezieY Iman is bietiPul

Islam is ezieY Iman is bietiPul

Wednesday 28 December 2011

5 perkara aneh Yg menTARBIYAH.




Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

                              ~Menyenangkan perasaan ummah adalah SUNNAH~


 Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."



Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Sunday 25 December 2011

Meraih Pahala Melalui Facebook


Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa.
Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej.
Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di Amerika Syarikat dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.
Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Ivy League, dan Universiti Stanford.
Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.
Daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda:

سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَاسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لا يَنْفَعُ

Maksudnya: "Mohonlah kepada Allah ilmu yang bermanfaat, dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat" 
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, Abdun bin Humaid dalam al-Musnad, al-Fakihi dalam Fawaid Abi Muhammad al-Fakihi.
Meraih Pahala Bersama Facebook



Tajuk ini bukanlah menggalakkan kita terus berfacebook kerana termotivasi dengan terma 'pahala'. Ia cuma sebagai pendorong kepada kita untuk memanfaatkan masa yang terluang semasa berfacebook untuk memperoleh pahala dari-Nya.
1. Facebook Chat
Berbual menggunakan Facebook Chat sememangnya menyeronokkan. Sahabat yang jauh, terasa dekat. Masa yang lama, terasa singkat. Tambahan pula dengan adanya video call, seakan 'melekat' batang tubuh di hadapan komputer. Lepas seorang, seorang lagi. Hingga larut malam.
Adalah lebih baik jika chatting itu terisi dengan perkongsian ilmu yang bermanfaat. Boleh jadi ia perbincangan masalah dalam pembelajaran, perbincangan isu-isu agama ataupun sekadar bualan bagi mengeratkan ukhwah.
2. Status
Terkadang rasa lucu, geram, keliru, hairan dan seronok melihat ragam status rakan-rakan Facebook setiap hari. Ada yang jenis update status setiap jam. Ada yang suka meluahkan perasaan selepas putus cinta. Ada yang meluahkan kemarahan di Facebook.
Tidak kurang juga ada yang bergaduh, saling perli-memerli (sempat lagi tag 'musuhnya'). Bagi yang membaca status, jari-jemari ligat menekan 'like'. Ada juga yang menulis status dan mengharapkan 'like' yang banyak.  'Like' yang banyak mungkin satu kepuasan buat dirinya.
Tulislah status yang bermanfaat, diletakkan link ceramah agama dari Youtube, ataupun sekurang-kurangnya video-video menarik lucu dan berunsur nasihat dari blogger terkenal Malaysia seperti Mat Luthfi, Anwar Hadi atau Aiman Azlan .
Boleh juga diupload gambar-gambar bermanfaat, design testi yang menarik dari ILuvIslam, lukisan dari Rusydee Artz, komik Islamik dari MFR Studio dan juga Komik Dakwah Online.
3. Group
Kadangkala, aplikasi group ini agak menyerabutkan. Apabila semuanya serba mudah di dalam Facebook ini, maka makin ramai yang membuat group. Lalu di add masuk ramai orang ke dalamnya. Kadangkala, tidak pernah diminta untuk masuk ke group itu, tahu-tahu sudah di add masuk.
Bagi saya sendiri, saya buangkan sahaja group-group yang tidak membawa manfaat dan sertai group yang bermanfaat. Cuba turut serta dalam perbincangan group dan lontarkan pandangan, ilmu mahupun komen anda.
Usah sekadar menjadi 'silent reader' kerana kadangkala kefahaman kita terhadap sesuatu isu mungkin tersasar dari maksud sebenar. Jadi, dengan mengemukakan pandangan atau komen, kefahaman anda mungkin lebih jelas.
4. Share
Gunakan kemudahan share untuk berkongsi notes dan status rakan-rakan yang bermanfaat. Adalah lebih baik dikongsi status ilmuan-ilmuan agama kita seperti Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hasrizal, dan Ustaz Azhar Idrus atau status motivasi dari Prof. Dr. Muhaya, Wardina Safiyyah dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama).
5. Notes
Kemudahan aplikasi Notes di Facebook wajar diguna sebaiknya untuk dakwah. Apa sahaja yang anda peroleh dari pembacaan anda, ringkaskan dan letak di Notes kemudian tag seramai mungkin rakan-rakan anda.
Kita sudah ada majalah Solusi, Tarbawi, GenQ, Fardu Ain, Majalah i, Q & A, dan lain-lain. Malaysia sudah 'kebanjiran' dengan majalah-majalah agama. Manfaatkannya untuk mengutip dan menyebarkan seberapa banyak mutiara ilmu di dalamnya.
Apa yang penting, pastikan apa yang anda peroleh dari pembacaan anda perlu dari sumber yang tepat dan bukannya mesej berantai, risalah-risalah yang entah dari mana sumbernya, dan emel yang tiada asasnya. Tidak pasti? Rujuklah individu yang lebih arif.
Firman Allah S.W.T:
"Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui" (Surah an-Nahl ayat 43)

 
Penutup
Mudahnya mendapat manfaat dan pahala dari Facebook. Ingatlah, Facebook bukanlah segala-galanya dalam hidup anda namun segala-galanya dalam hidup anda boleh menjadi lebih bermakna dengan manfaat dari Facebook.
Bahagi masa anda dengan sebaiknya apatah lagi jika anda masih bergelar penuntut ilmu. Semoga manfaat yang kita peroleh, mampu menjadi bekal kita di sana nanti. Wallahualam.
*sejarah Facebook diambil dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Facebook
-Artikel iluvislam.com
Sumber Grafik: Google Image

Biodata Penulis

Mohamad Razif bin Mohamad Fuad Seorang mahasiswa tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Setiausaha Agung, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM. Penulis blog http://raziffuad.blogspot.com/.